Pada 23 Mac 2020 yang lalu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa pencarum KWSP berusia bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran KWSP melalui sebuah skim pengeluaran yang digelar i-Lestari KWSP.
Tujuannya adalah untuk membantu ahli meneruskan kelangsungan hidup ketika berdepan dengan pandemik COVID-19 pada ketika ini.
Berita ini disambut baik oleh rakyat, terutamanya yang terjejas pendapatan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di mana banyak jenis pekerjaan, perniagaan dan perkhidmatan terpaksa dihentikan buat sementara.
Didalam artikel ini, kami akan kongsikan tentang info lanjut berkaitan e-pengeluaran Akaun 2 KWSP iaitu i-Lestari KWSP dan cara membuat pendaftaran permohonan serta pengeluaran secara online.
Konsep Am Pengeluaran i-Lestari
Apakah i-Lestari dan bagaimana prosedur pengeluaran KWSP akan berlangsung adalah seperti berikut:
- Pengeluaran maksimum RM500 daripada Akaun 2 sahaja.
- Kelayakan bilangan bulan pengeluaran adalah dikira bermula daripada tarikh penerimaan permohonan pengeluaran yang diluluskan oleh KWSP hingga tamat tempoh kuatkuasa Pengeluaran i-Lestari iaitu 31 Mac 2021.
- Bayaran pengeluaran akan dibuat secara bulanan dan berulang (recurring) untuk bulan-bulan berikutnya tertakluk kepada kelayakan bilangan bulan pengeluaran seperti dalam situasi di bawah (b)
Situasi :
Jika permohonan yang diluluskan diterima pada bulan April 2020, kelayakan bilangan bulan pengeluaran adalah bilangan maksimum selama 12 bulan.
Jika permohonan yang diluluskan diterima pada bulan September 2020, kelayakan bilangan bulan pengeluaran adalah selama 7 bulan.
Jika permohonan yang diluluskan diterima pada bulan Mac 2021, kelayakan bilangan pengeluaran adalah selama 1 bulan.
Tempoh Pengeluaran
Pengeluaran i-Lestari adalah berkuatkuasa bagi tempoh 1 April 2020 hingga 31 Mac 2021.
Ahli boleh menghantar borang permohonan Pengeluaran i-Lestari mulai 1 April 2020 hingga 31 Mac 2021.
*(Permohonan hendaklah diterima oleh KWSP sebelum atau pada 31 Mac 2021)
Kelayakan Pengeluaran
Siapa yang layak memohon i-Lestari?
Pencarum yang layak memohon i-Lestari adalah terdiri daripada mereka yang memenuhi kriteria berikut :
- Warganegara Malaysia, Pemastautin Tetap dan Bukan Warganegara Malaysia ;
- Berumur di bawah 55 tahun; dan
- Mempunyai baki simpanan di dalam Akaun 2
Amaun Yang Boleh Dikeluarkan
Amaun Pengeluaran i-Lestari yang layak dikeluarkan adalah sebanyak minimum RM50 dan maksimum RM500 sebulan; tertakluk kepada jumlah simpanan yang ada di dalam Akaun 2 semasa bayaran pengeluaran bagi bulan berkenaan dibuat.
Namun jika jumlah simpanan Akaun 2 adalah kurang daripada amaun yang dimohon, maka amaun pengeluaran untuk bulan berkenaan adalah berdasarkan jumlah tersebut.
Tarikh Penerimaan Bayaran
Bagi permohonan pengeluaran yang diterima pada bulan April 2020, bayaran akan dibuat bermula pada bulan Mei 2020.
Manakala bagi permohonan pengeluaran yang diterima selepas bulan April 2020, bayaran pengeluaran bermula daripada tarikh permohonan pengeluaran diterima oleh KWSP.
Permohonan Pengeluaran iLestari Melalui e-Pengeluaran
Bagaimanakah cara permohonan Pengeluaran i-Lestari secara dalam talian melalui e-Pengeluaran?
Permohonan pengeluaran i-Lestari boleh dibuat secara dalam talian melalui i-Akaun (Ahli) sepertimana cara berikut:
Ahli perlu log masuk ke i-Akaun (Ahli) → Pilih Tab Pengeluaran → Klik e-Pengeluaran → Klik Permohonan Baru → Pilih Pengeluaran i-Lestari untuk memulakan transaksi.
Klik di sini untuk Panduan Pengguna.
Permohonan Pengeluaran i-Lestari Secara Manual (Melalui Hantaran E-Mel Dan Pos)
Di manakah Ahli boleh mendapatkan borang permohonan Pengeluaran i-Lestari?
Ahli boleh memuat turun borang permohonan Pengeluaran i-Lestari dari laman sesawang KWSP. Klik di sini.
Bagaimanakah permohonan Pengeluaran i-Lestari secara manual melalui e-mel boleh dibuat?
Ahli perlu mengimbas dan mengemukakan borang berserta dokumen sokongan seperti di bawah dan dihantar melalui e-mel ke alamat ilestarimohon@epf.gov.my:
- Salinan kad pengenalan (depan dan belakang)
- Salinan pasport (untuk Ahli bukan warganegara Malaysia)
- Salinan buku bank/penyata akaun bank (simpanan/semasa) Ahli yang AKTIF
Ahli disarankan membuat permohonan secara dalam talian melalui e-Pengeluaran. Adalah dijangkakan terdapat kelewatan dalam memproses permohonan secara manual melalui e-mel.
Bagaimanakah permohonan Pengeluaran i-Lestari secara manual melalui pos/pos berdaftar/kurier boleh dibuat?
Ahli perlu menghantar permohonan pengeluaran dan dokumen sokongan seperti di bawah dan dihantar melalui pos/pos berdaftar/kurier :
- Salinan kad pengenalan (depan dan belakang) yang jelas
- Salinan pasport (untuk Ahli bukan warganegara Malaysia)
- Salinan buku bank/penyata akaun bank (simpanan/semasa) Ahli yang AKTIF
Dokumen tersebut hendaklah dihantar ke alamat:
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja,
Beg Berkunci No 220,
Jalan Sultan 46720 Petaling Jaya.
Nota: Sila catatkan (UP : i-Lestari) di hadapan sampul surat.
Sebarang Soalan Lazim berkaitan Pengeluaran i-Lestari KWSP, ke baca sini
Semoga perkongsian Pengeluaran i-Lestari KWSP: Permohonan Pengeluaran i-Lestari Melalui e-Pengeluaran membantu anda dalam permohonan pengeluaran iLestari melalui i-akaun ahli KWSP dengan mudah dan selamat.
Gunakanlah wang akaun 2 simpanan anda ini dengan cara yang berhemah agar mencukupi ketika PKP dan perancangan keluarga anda.