- Nama Produk
- Kesan sampingan yang dialami
- Dimana produk dibeli
- Sebab produk digunakan
- Sampel produk(untuk produk tradisional)
En. Danial*, 66 tahun, mengalami serangan jantung hanya satu jam selepas mengambil produk tidak berdaftar, COBRA-X, untuk meningkatkan daya seksual. Berdasarkan ujian makmal yang dijalankan ke atas baki sampel produk, ia telah dikesan mengandungi sildenafil. Sildenafil, atau lebih dikenali dengan nama Viagra®, adalah ubat farmaseutikal yang berdaftar untuk rawatan mati pucuk. Ubat ini tidak dibenarkan sebagai kandungan di dalam produk tradisional. Sebelum rawatan mati pucuk dimulakan oleh doktor, pesakit perlu dinilai untuk mengenal pasti punca masalah, dan sama ada pesakit mempunyai sebarang masalah jantung. Sildenafil tidak sesuai digunakan oleh pesakit jantung ataupun mereka yang sedang mengambil ubat sakit jantung seperti ubat nitrates. En. Danial bernasib baik kerana menerima rawatan perubatan dengan segera yang telah menyelamatkan nyawa beliau.
En. Abdullah*, 60 tahun, mengalami perubahan tingkah laku dalam masa dua minggu selepas mula mengambil produk tradisional tidak berdaftar, Skyline Al Taqwa Sakit Pinggang & Lutut untuk merawat sakit lututnya yang kronik. Produk ini dijual dengan tuntutan ia dapat merawat pelbagai jenis kesakitan. Tingkah laku En. Abdullah berubah menjadi kuat bercakap, mempunyai idea-idea yang hebat, berbelanja berlebih-lebihan, dan turut memberikan wangnya kepada orang lain. Ahli keluarganya berasa risau dan membawa beliau untuk mendapatkan rawatan psikiatri di hospital berdekatan. En. Abdullah bertuah kerana melalui pengambilan sejarah perubatan yang baik, doktor mengesyaki terdapat bahan terlarang di dalam produk tradisional tidak berdaftar tersebut yang menyebabkan perubahan tingkah laku beliau. Doktor tidak terus memberikan ubat tambahan untuk merawat simptom En. Abdullah, sebaliknya mengarahkan supaya penggunaan produk tidak berdaftar tersebut dihentikan secara berkala. Ujian makmal menunjukkan bahawa produk tersebut mengandungi dexamethasone – sejenis steroid yang kuat. Diagnosis muktamad untuk En. Abdullah adalah ‘euforia disebabkan pengambilan produk yang mengandungi steroid’, dan beliau pulih sepenuhnya selepas menghentikan pengambilan produk tersebut.
Alex*, 13 tahun, adalah seorang budak yang sihat dan cergas sebelum dia terjatuh dan terseliuh buku lali. Dia telah mendapatkan rawatan urut dan mula mengambil sejenis produk tradisional (tidak berlabel) untuk melegakan sakit badan dan bengkak kaki. Hanya tiga hari selepas itu, Alex dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di Lembah Klang kerana tiba-tiba berasa sesak nafas. Pemeriksaan lanjut mendapati dia mengalami kegagalan organ jantung, hati dan buah pinggang. Doktor mengesyaki kegagalan organ ini mungkin disebabkan oleh logam berat yang terkandung di dalam produk tradisional tersebut. Ujian makmal mendapati bahawa produk tersebut dicemari dengan kandungan arsenik yang tinggi. Ini merupakan punca kegagalan organ-organ Alex.
1. Semak kelulusan produk kecantikan, ubat tradisional atau supplement dengan cara seperti gambar dibawah atau baca artikel ini – Cara Semak Kelulusan KKM
Produk tidak Berdaftar – Jika anda mempunyai maklumat berkaitan penjualan produk tidak berdaftar, sila hubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (Tel.: 03-78413387, laman web: www.pharmacy.gov.my)
Kesan Sampingan Ubat – Jika anda mengesyaki sesuatu produk membuatkan anda berasa kurang sihat, beritahu kami! Laporkan kesan sampingan ubat melalui laman sesawang NPRA: http://npra.moh.gov.my